Ciri-ciri Ruang liminal (estetik)

Istilah ruang liminal secara umumnya digunakan untuk menggambarkan tempat atau keadaan perubahan atau peralihan, sama ada fizikal (cth ambang pintu) atau psikologi (cth zaman remaja). [3] Imej ruang liminal ini selalunya mendatangkan perasaan berada "di tengah-tengah", di mana tempat-tempat peralihan (seperti tangga, jalan raya, koridor atau hotel) boleh mendatangkan rasa gelisah kerana ketiadaan orang di sekeliling. [4] Estetik ini boleh menyampaikan perasaan ngeri, berada di luar realiti, nostalgia atau sedih, dan boleh menimbulkan tindak balas selesa dan resah gelisah pada masa yang sama. [5]

Gambar yang menunjukkan taman permainan yang kosong ini boleh menimbulkan keresahan kerana ia tidak berada dalam konteks yang diharapkan (iaitu kehadiran kanak-kanak).

Kajian oleh Alexander Diel dan Michael Lewis dari Cardiff University telah mengaitkan sifat ruang liminal yang menggelisahkan ini dengan fenomena lembah gerun. Fenomena ini, biasanya digunakan untuk menggambarkan perasaan kurang senang yang timbul apabila melihat ciri serupa tapi tak sama antara sebuah humanoid atau robot manusia dengan manusia sebenar, boleh menjelaskan tindak balas serupa yang terhasil akibat gambaran liminal, di mana tempat fizikal yang kelihatan biasa tetapi menyimpang sedikit daripada realiti boleh mewujudkan rasa ngeri. [1]

Peter Heft daripada Pulse: Journal of Science and Culture telah mengkaji rasa ngeri ini dengan lebih mendalam. Berdasarkan karya Mark Fisher, Heft mengulas bahawa kengerian ini boleh dirasai apabila seseorang individu melihat sesebuah situasi dalam konteks yang berbeza dengan apa yang diharapkan. Sebagai contoh, sebuah sekolah, yang kebiasaannya menjadi tempat yang sibuk dengan percampuran guru dan pelajar, boleh menimbulkan perasaan tidak selesa apabila sekolah itu ditunjukkan sebagai kosong. "Kegagalan kehadiran" ini dianggap oleh Fisher sebagai salah satu ciri utama dalam pengalaman estetik yang menakutkan. [2]

Rujukan

WikiPedia: Ruang liminal (estetik) https://doi.org/10.1016%2Fj.jenvp.2022.101844 https://www.pulse-journal.org/_files/ugd/b096b2_d3... https://www.forbes.com/health/mind/what-is-liminal... https://www.newyorker.com/culture/rabbit-holes/the... https://www.theatlantic.com/culture/archive/2022/1... https://museemagazine.com/features/2020/11/1/the-c... https://bloody-disgusting.com/editorials/3614536/p... https://web.archive.org/web/20220201130114/https:/... https://happymag.tv/what-are-the-backrooms/ https://www.archdaily.com/996668/why-are-liminal-s...